Insurans, saham, emas jadi pilihan pelabur mewah di Malaysia - HSBC

KUALA LUMPUR: Tinjauan oleh HSBC menunjukkan bahawa tiga produk kewangan utama yang dimiliki oleh pelabur mewah dan bernilai bersih tinggi di Malaysia ialah insurans, saham dan emas.
Dapatan yang diambil daripada edisi terkini HSBC Affluent Investor Snapshot itu juga mendapati pelabur ingin meningkatkan kepemilikan emas, deposit tetap dan aset alternatif dalam tempoh 12 bulan.
Laporan HSBC itu menyatakan bahawa pelabur mewah dan bernilai bersih tinggi di Malaysia kini menumpukan tiga matlamat kewangan utama iaitu membina kekayaan tambahan untuk membendung inflasi, memelihara dan melindungi kekayaan serta bersedia untuk persaraan.
Bagi mencapai matlamat kewangan mereka, pelabur mewah dan bernilai bersih tinggi di negara ini mengambil pendekatan dinamik ketika memperuntukkan aset.
Mereka kini aktif melaburkan tunai dengan lebih agresif berbanding kelompok setaraf global. Dalam tempoh 12 bulan tinjauan, 16 peratus pelabur mewah dan bernilai bersih tinggi di Malaysia berkata mereka ingin mengurangkan peruntukan tunai dalam portfolio, kadar yang lebih tinggi berbanding purata global iaitu 12 peratus.
Ini juga lebih tinggi berbanding pasaran lain seperti Taiwan (9 peratus) dan Singapura (13 peratus), demikian menurut laporan HSBC itu.
Tinjauan yang dilaksanakan oleh HSBC itu mewawancara hampir 10,000 individu mewah dan bernilai bersih tinggi di 10 pasaran termasuk Malaysia dengan meneliti portfolio dan hasrat pelaburan masa hadapan.
Ketua Kekayaan Antarabangsa dan Perbankan Premier HSBC Malaysia, Linda Yip, berkata dapatan tinjauan adalah selari dengan kesanggupan pelaburan pelanggan Premier dan Premier Elite HSBC.
"Individu mewah dan bernilai bersih tinggi kini semakin tekad mengurus kekayaan mereka dan mengimbangkan semula portfolio untuk mencapai matlamat kewangan masing-masing.
"Mereka cakna terhadap tekanan inflasi dan kepentingan membina penimbal untuk persaraan. Mereka memfokuskan pertumbuhan dan perlindungan kekayaan untuk jangka masa panjang, dan sentimen ini dicerminkan dalam dapatan tinjauan," katanya dalam satu kenyataan.
Yip menambah, pelabur mewah dan bernilai bersih tinggi di Malaysia terus mencari pertumbuhan jangka masa panjang, dan pemilihan produk kewangan kini semakin teliti serta berdasarkan objektif pelaburan.
Katanya, walaupun portfolio kekal bertonggakkan produk lazim seperti insurans dan saham, pelabur mewah dan bernilai tinggi di Malaysia juga terbuka untuk pelaburan yang lebih canggih seperti pelaburan ke dalam aset alternatif, di samping produk yang sudah menjadi pilihan sejak dahulu, seperti emas dan deposit berjangka.
"Di HSBC, kami tekad untuk membantu pelanggan mencapai matlamat kewangan melalui rangkaian penyelesaian kekayaan dan pengurus perhubungan khusus yang meluas.
"Pusat-pusat Premier dan Pusat Kekayaan kami ialah lokasi untuk mengadakan perbincangan penting berkenaan kekayaan dan rancangan kehidupan, menyokong matlamat HSBC untuk menjadi rakan kewangan yang dipercayai di segenap peringkat kehidupan dan keputusan kewangan yang utama," katanya.
Sumber: BeritaHarian
Artikel Penuh : https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/07/1593876/insurans-saham-emas-jadi-pilihan-pelabur-mewah-di-malaysia-hsbc/
