Waktu Urusniaga Kaunter: Isnin - Jumaat: 9:00 Pagi - 4:00 Petang | Waktu Pejabat: Isnin - Jumaat: 8:30 Pagi - 5:30 Petang


Informasi

Menu Utama / Informasi


Ringgit jatuh kepada RM3.99 sedolar dalam keadaan pasaran mata wang tak menentu




KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu dalam keadaan pasaran mata wang tidak menentu berikutan wujud semula kebimbangan mengenai tarif AS.

Pada 6 petang, mata wang tempatan menurun kepada 3.9955/9990 berbanding dolar AS daripada 3.9625/9670 semasa ditutup pada Jumaat lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Wakil Perdagangan AS (USTR) dalam kenyataan media terkini, telah mengenal pasti dasar dan amalan 60 ekonomi yang akan berdepan kenaikan tarif berhubung elemen buruh paksa.

"Ini menunjukkan bahawa dasar perlindungan perdagangan akan terus membentuk ekonomi global, yang akan menyebabkan kos menjalankan perniagaan lebih tinggi bagi perniagaan di AS dan berpotensi membawa kepada penyusunan semula rantaian bekalan global yang seterusnya," katanya kepada Bernama.

Ringgit turut diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia menurun berbanding pound kepada 5.3727/3775 daripada 5.3165/3225, berkurangan berbanding euro kepada 4.6400/6440 daripada 4.6127/6180 dan menyusut berbanding yen Jepun kepada 2.5005/5027 daripada 2.4874/4904 semasa ditutup pada Jumaat lalu.

Mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding mata wang serantau.

Ringgit menurun berbanding dolar Singapura kepada 3.1164/1193 daripada 3.1010/1048 dan berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.1825/1988 daripada 12.1732/1926 sebelum ini.

Mata wang tempatan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 222.3/222.7 daripada 221.6/221.9 dan menurun berbanding peso Filipina kepada 6.47/6.48 daripada 6.43/6.44 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

-BERNAMA



Sumber: Bharian

Artikel Penuh :

https://www.bharian.com.my/bisnes/pasaran/2026/06/1566857/ringgit-jatuh-kepada-rm399-sedolar-dalam-keadaan-pasaran-mata-wang