Waktu Urusniaga Kaunter: Isnin - Jumaat: 9:00 Petang - 4:00 Petang | Waktu Pejabat: Isnin - Jumaat: 8:30 Pagi - 5:30 Petang


Informasi

Menu Utama / Informasi


PDB catat hasil RM11.2 bilion




Kuala Lumpur: PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) mempamerkan prestasi kewangan yang teguh dan berdaya tahan bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, meskipun berdepan dengan persekitaran pasaran minyak global yang tidak menentu.

Keupayaan syarikat mengekalkan momentum itu didorong oleh tumpuan terhadap operasi yang stabil selain memastikan kualiti perkhidmatan dan kemudahan terbaik di seluruh rangkaiannya sepanjang tempoh berkenaan.

Bagi suku dikaji, hasil pendapatan PDB melonjak 23 peratus kepada RM11.2 bilion berbanding suku sama tahun lalu, disokong oleh harga jualan purata lebih tinggi serta volum jualan lebih kukuh.

Total volum jualan syarikat turut mencatatkan pertumbuhan sebanyak tujuh peratus tahun ke tahun, hasil peningkatan ketara dalam volum petrol melalui pengalaman pelanggan yang lancar di aplikasi Setel susulan pelaksanaan program BUDI95.

Selain itu, permintaan yang lebih tinggi daripada sektor komersial turut menjadi pemangkin utama kepada peningkatan volum jualan keseluruhan syarikat bagi tiga bulan pertama tahun ini.

Bagaimanapun, untung selepas cukai (PAT) PDB mencatatkan sedikit penurunan sebanyak tiga peratus kepada RM291.4 juta berbanding RM301.2 juta pada suku pertama 2025.

Susutan marginal itu disebabkan terutamanya oleh kos produk yang lebih tinggi berikutan kenaikan harga pasaran minyak dunia yang memberi kesan kepada margin keuntungan syarikat.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, dalam keadaan pasaran yang tidak menentu, keutamaan syarikat adalah memastikan bekalan bahan api yang boleh dipercayai buat pelanggan.

"Suku pertama ini mencerminkan kekuatan perniagaan teras kami dan disiplin pasukan. Kami akan terus fokus kepada kecemerlangan operasi dan tumpuan kepada pelanggan dalam mendepani tekanan kos," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, PDB kekal yakin dengan keupayaan syarikat untuk mengemudi cabaran dalam segmen runcit dan komersial meskipun keadaan pasaran kekal dinamik dan mencabar.

"Syarikat komited untuk terus memperkukuh tawaran nilai kepada pelanggan bagi memastikan penyampaian nilai jangka panjang yang mampan kepada semua pemegang taruh," katanya.

Seiring dengan prestasi itu, PDB mengumumkan dividen interim sebanyak 18 sen sesaham bagi suku berakhir 31 Mac 2026 sebagai ganjaran kepada para pemegang sahamnya.



Sumber: HMetro

Artikel Penuh :

https://www.hmetro.com.my/bisnes/2026/05/1363592/pdb-catat-hasil-rm112-bilion